JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan seorang wanita memasukkan ubat paracetamol ke dalam masakan yang didakwa sebagai petua untuk menjadikan daging mudah lembut, lapor portal berita Okezone kelmarin.
Berdasarkan video tersebut, wanita berkenaan dilihat memasukkan sebiji tablet paracetamol ke dalam masakan daging yang menurut netizen, cara itu kerap digunakan untuk melembutkan daging yang dimasak.
Namun, video tersebut mengundang perhatian beberapa pengamal perubatan yang memberi amaran agar orang ramai tidak menirunya.
Menurut seorang pengamal perubatan yang juga pengguna TikTok, Ayman Alatas, tindakan itu berbahaya kerana paracetamol menjadi toksik apabila terkena haba masakan.
“Apabila masakan dipanaskan, akan berlakunya proses-proses tertentu yang membuatkan paracetamol menghasilkan toksik atau bahan beracun,” kata Ayman.
Tambahnya, tindakan itu juga boleh menyebabkan kesan jangka panjang yang berbahaya.
“Zat beracun akan memberi kesan jangka panjang yang berbahaya untuk tubuh. Justeru, orang ramai dinasihat jangan menggunakan paracetamol dalam masakan. Apatah lagi jika kebiasaan ini dilakukan selama bertahun-tahun,” jelasnya.
Ayman turut menyarankan agar orang ramai menggunakan bahan semula jadi untuk melembutkan daging seperti nanas.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Saya baru tahu petua melembutkan daging guna paracetamol,” kata seorang netizen.
“Dari manalah mereka mendapat idea untuk masak daging menggunakan paracetamol,” kata pengguna lain.
Sumber: Kosmo