Trend TikTok Guna Lagu Nirmala Rupanya Diilhamkan Dari Kisah Rasulullah Dan Aisyah

0
209
Foto: The Reporter

Kuala Lumpur: Tindakan segelintir pengguna TikTok termasuk pasangan pelakon suami isteri, Kamal Adli dan Uqasha Senrose membuat video seolah-olah ‘mempermainkan’ lagu popular nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Nirmala bertujuan untuk hiburan semata-mata.

Ini anggapan penulis liriknya, Kamarulzaman Taib atau Che Kem walaupun lirik lagu itu berkisarkan peristiwa Nabi Muhammad SAW dan isterinya, Aisyah.

Che Kem yang juga pelakon dan penggiat teater berkata, jika lagu itu diambil dalam bentuk terputus-putus, baginya ia tidak mempunyai maksud apa-apa kerana tidak berkaitan dengan keseluruhan lirik.

“Ia tiada maksud dan sekadar lagu saja. Tapi sebagai individu yang menghormati lagu itu, menghormati falsafah kisah di sebalik lagu itu, mereka takkan buat perkara yang sepatutnya mereka hormati.

“Kisah ini adalah satu penghormatan terhadap Aisyah dan jika ada kefahaman mengenai liriknya, mereka tak buat perkara ini. Mereka buat sekadar untuk ‘trending’ dan hiburan,” katanya kepada Harian Metro.

Che Kem berkata, Kamal dan Uqasha juga tentu mengikut ‘trend’ melakukannya tanpa memahami maksud sebenar lagu itu.

“Ada yang tahu mengenai lirik lagu ini, tahulah. Yang tak tahu pula, ambil sebagai hiburan. Lagu ini juga digunakan dalam program Dangdut Asia dan ia ditarikan dalam konsert dangdut semata-mata.

“Ini kerana dalam lirik itu saya tak menulis sepatah pun mengenai Rasulullah, tapi ilham liriknya memang dari kisah Rasulullah dan Aisyah.

“Maknanya ia boleh ditafsir dalam cerita yang berbeza mengikut latar pengetahuan yang berbeza,” katanya.

Lagu Nirmala ciptaan Allahyarham Pak Ngah ini dimuatkan dalam album Sanggar Mustika pada 2002.

“Ketika itu Siti berdepan isu fitnah dan surat layang yang bertebaran di internet. Namun, sebenarnya saya bukanlah buat lirik dari kehidupan Siti.

“Cuma dari peristiwa itu, ia buka fikiran saya untuk cari pengajaran dari isu yang terjadi kepada beliau. Saya belek surah-surah kisah Nabi dan jumpa kisah dalam surah an-Nur

“Aisyah difitnah berzina sehingga menjejaskan reputasi Nabi Muhammad SAW dan Islam serta nama Aisyah sendiri sebagai isteri,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here