Tragedi Kepala Air: Tiga Maut Tiga Hilang Ketika Keluar Hiking

0
116
Foto: Harian Metro

Lahad Datu: Tiga maut manakala tiga lagi masih hilang akibat insiden kepala air di Lembah Maksina, Makuau, Tungku, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, semua mangsa berusia lingkungan 25 hingga 58 tahun itu dikatakan masuk ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti ‘hiking’.

Bagaimanapun, semua 17 mangsa dihanyutkan kepala air sehingga mengakibatkan enam hilang, dua cedera dan sembilan lagi terperangkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.28 malam.

Katanya, panggilan kecemasan dibuat oleh dua mangsa yang berjaya keluar sendiri daripada kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

“Pasukan operasi berjaya tiba di lokasi kejadian pada jam 9.36 malam dan operasi mengeluarkan sembilan mangsa terperangkap terus dijalankan.

“Tiga jasad sudah ditemui tertimbus di bawah kayu balak pada jam 1.37 pagi dan operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan pasukan operasi.

“Bagaimanapun identiti ketiga-tiga mangsa yang ditemui masih belum dapat dikenal pasti dan usaha mencari tiga lagi mangsa sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumsoa berkata, sembilan mangsa membabitkan enam lelaki dan tiga wanita berjaya dibawa keluar kira-kira jam 12 tengah malam.

Katanya, dua mangsa yang cedera terus diberikan rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditangguhkan jam 1.40 pagi berikutan cuaca kurang baik dan keadaan gelap sebelum operasi mencari menyelamat disambung semula pada 6 pagi.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perhutanan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here