KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar dan terkawal setakat 8 pagi Selasa.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik lancar di Plaza Tol Jalan Duta (arah utara), Plaza Tol Sungai Besi (menuju selatan) dan Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur).
“Bagaimanapun kita menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan hari ini ekoran pengguna pulang ke kampung di saat akhir,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) juga dilaporkan lancar.
Dalam pada itu akaun rasmi Twitter PLUS Trafik memaklumkan pengaktifan Smartlane di beberapa lokasi bagi melancarkan aliran trafik.
Pengaktifan itu antaranya melibatkan Kilometer (KM) 4.5 hingga KM1.9 arah selatan antara Setia Tropika ke Pasir Gudang, KM0.4 hingga KM6 arah Utara antara Pandan ke Kempas dan di kedua-dua arah melibatkan KM19 hingga KM27 antara Senai dan Kulai. – Bernama
Sumber: Sinar Harian