Thursday, April 25, 2024
HomeHIBURANTomok Masih Tak Percaya Sudah Memegang Sugulung Ijazah

Tomok Masih Tak Percaya Sudah Memegang Sugulung Ijazah

SHAH ALAM : Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, 39, mengakui sukar membuang rasa tidak percaya bahawa dirinya mampu meraih segulung ijazah setelah lima tahun penantian penuh onak dan duri.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail berkata, menerusi Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diraihnya itu, diharapkan dapat menyuntik inspirasi dan motivasi buat semua pihak untuk terus menggapai cita-cita tanpa mengabaikan aspek pendidikan.

“Saya memulakan pengajian pada tahun 2015 secara jarak jauh dan selesai pada tahun 2020. Tetapi memandangkan dunia pula dilanda Covid-19 dan negara pun mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu, jadi majlis konvokesyen kami terpaksa ditangguh.

“Alhamdulillah, akhirnya dapat saya dan rakan-rakan lain berada di UUM, Khamis lalu untuk hadir ke majlis konvokesyen kami.Satu perasaan yang tak boleh digambarkan bila berada dalam dewan dan tunggu nama dipanggil naik ke pentas.

“Rasa bangga pun ada apabila mengenangkan segala jerih perih untuk menyelesaikan semua tugasan dan pembelajaran dengan pada masa yang sama bekerja. Bagaimanapun, semua itu terasa sangat berbaloi,”katanya.

Tomok berkata demikian semasa ditemui usai program siaran langsung All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang diadakan di Autitorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

Mengenang kembali, kata Tomok, dia pernah berasa was-was untuk menyambung pengajian ke menara gading ketika tawaran tersebut hadir atas alasan bimbang tidak dapat menyelesaikannya dengan baik.

“Masa dapat tawaran belajar ini dulu, rasa tak yakin sebab takut tak dapat buat. Tapi atas sokongan kawan-kawan, pensyarah dan keluarga, saya cuba. Tak sangka dapat juga segulung ijazah. Rasa sebak juga.

“Pengalaman ini membuatkan saya rasa sangat berbangga. Terus rasa bersemangat nak sambung pengajian di peringkat Sarjana pula selepas ini,”katanya.

Dalam pada itu, Tomok tidak menolak bahawa keputusannya untuk meneruskan pengajian adalah satu tindakan yang tepat dalam usaha menjadi contoh yang baik buat anak-anaknya.

“Bila anak-anak ucap tahniah pada saya tempoh hari, saya rasa bangga dan mahu mereka pun dapat contohi perkara baik yang dilakukan. Saya nak mereka tahu, walaupun ayah mereka kerja dalam bidang seni, menyanyi, tetapi pelajaran tidak diabaikan.

“Saya juga lakukan ini demi peminat dan nak tekankan bahawa, nak menimba ilmu ini tak mengira usia. Tahun depan saya pun dah masuk usia 40 tahun dan saya nak buktikan yang diri ini tak pernah putus asa.

“Tak kiralah kita ini artiskah atau kerja apa pun, Insya-Allah, dengan pendidikan, kita boleh menjadi insan yang lebih baik. Tak ada istilah lambat nak sambung belajar,”katanya.

Menurut Tomok, selain dirinya, antara rakan artis yang turut sama menyertai majlis konvokesyen dalam bidang yang sama minggu lalu termasuk Pekin, Aril Pilus, Raja Mukhriz dan Akma AF.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Sheriff ‘Menang Besar’, Penonton Puas Hati Dengan ‘Plot Twist’

0
Penulis punya banyak perkara untuk dibentang tentang Sheriff arahan Syafiq Yusof dengan sedikit atau helaian muka surat terhad dalam ulasan filem minggu ini. Setakat tulisan ini diusaikan iaitu...

CATEGORIES