Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Syed Husin Meninggal Dunia

0
74

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali meninggal dunia di Hospital Selayang awal pagi ini, pada usia 88 tahun.

Berita kematian itu dimaklumkan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Saya telah menziarah Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lepas. Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua lalu.

“Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk ‘Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara’ yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta ‘Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN’, dan banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain lama berjuang dalam politik tanah air,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata beliau juga pernah membantu kempen Allahyarham pada Pilihan Raya Umum 2004 sewaktu bertanding di kerusi Petaling Jaya Selatan.

“Dr Syed seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan. Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Dr Syed Husin pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden PKR, Presiden Parti Rakyat Malaysia serta profesor di Universiti Malaya.

Jenazah Syed Husin akan disolatkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya pagi ini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Kota Damansara.

Syed Husin yang dilahirkan di Johor, adalah seorang bekas profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya pada 1985 hingga 1990 dan dikurniakan tiga orang anak, hasil perkahwinan dengan Sabariah Abdullah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Kerajaan, Batu Pahat pada 1946 hingga 1953 sebelum meneruskan pelajaran di Kolej Inggeris, Johor Bahru (1954-1955).

Beliau juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM), Singapura (1956-1959), Master UM, Singapura (1963) dan Doktor Falsafah (PhD) (Sosiologi dan Antropologi) di London School of Economics and Political Science, United Kingdom pada 1972.

Dalam kerjaya, Syed Husin juga pernah menjadi Pegawai Penyelidik Sementara, Agensi Kesusasteraan Bahasa pada 1959 dan Profesor Pengajian Pembangunan Manusia, Institut Pengajian Lanjutan, UM pada 1982 hingga 1985.

Syed Husin memulakan perjalanan politiknya dengan menjadi ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1960 sebelum bintangnya bersinar dan berjaya menjawat jawatan presiden parti itu pada 1990 hingga 2001 sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (keADILan) pada Ogos 2003 dan membentuk KeAdilan.

Pada pemilihan PKR pada 2004, beliau menang dengan 794 undi untuk jawatan Timbalan Presiden dan mengekalkan jawatan itu pada 2007 selepas menang tanpa bertanding.

Syed Husin yang dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tempoh 2009-2015 sebagai Senator Dewan Negara, telah menghasilkan pelbagai buku antaranya Social Stratification in Kampung Bagan (1966), Malay Peasant Society and Leadership (1975), Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan (1978), The Malays, Their Problems and Future (1981), Poverty and Landlessness in Kelantan, Malaysia (1983), Ethnicity dan Class and Development, Malaysia (1984). – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here