Tiga Sekeluarga Rentung Kereta Terbakar Selepas Rempuh Lori Sampah

0
79
Foto: Astro Awani

IPOH, 14 November- Tiga individu rentung apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar selepas merempuh sebuah lori sampah, di Kawasan Perindustrian Bercham malam tadi.

Menerusi satu kenyataan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya, menerima panggilan pada pukul 8.05 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan dibantu BBP Tambun serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta Proton Perdana dengan anggaran kemusnahan kebakaran kira-kira 95 peratus.

“Kemalangan itu dipercayai berpunca kereta tersebut merempuh bahagian hadapan lori sampah yang turut terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sabarodzi berkata bantuan kren digunakan untuk mengalihkan lori sampah tersebut dan setelah dialihkan didapati kesemua mangsa yang rentung berada dalam kereta berkenaan.

“Pihak bomba menggunakan dua aliran hos bersumberkan air tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisionar (ACP) Yahaya Hassan mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta dari arah Tanjung Rambutan hilang kawalan selepas melalui jalan selekoh sebelum merempuh sebuah lori sampah yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran, kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki berumur 20 tahun bersama adik dan sepupunya berumur 16 tahun telah tersepit di bawah lori sampah lalu terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesemua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori sampah bersama-sama empat kelindan tidak mengalami kecederaan.

Jelas Yahaya, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here