JOHOR BAHRU, 27 Disember- Tiga remaja lelaki termasuk dua remaja bawah umur menukar pengakuan kepada tidak bersalah di di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, 12 Disember lalu.
Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh terdahulu telah mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, R. Salini.
Namun setelah melihat ketiga-tiga tertuduh kurang memahami Bahasa Melayu ketika permintaan rayuan dikemukakan, mahkamah kemudian meminta pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh, Jonathan Yet, 18 tahun dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 15 dan 17 tahun secara bersama menculik seorang kanak-kanak lelaki tersebut di tepi Jalan Serampang, Johor Bahru, pada kira-kira 5.15 petang, 12 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd. Luthfi Ismail manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 bagi setiap tertuduh manakala dua tertuduh remaja bawah umur perlu dijamin oleh ibu bapa atau penjaga.
Sebutan semula kes ditetapkan 23 Januari depan bagi penyerahan laporan sosial dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
20 Disember lalu, ketiga-tiga suspek ditahan di Pontian selepas disyaki bersubahat menculik kanak-kanak lelaki tersebut di Johor Bahru.
Dalam kejadian pada 12 Disember lalu, seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap di Singapura cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta.