Tiga lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rompak Barang Kemas RM1.4 Juta

0
124
Foto: Kosmo

KUALA KANGSAR, 29 November- Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan merompak barangan kemas, membabitkan kerugian RM1.4 juta, November lalu.

Kesemua tertuduh R.Gunasellan 52 tahun, R.Anandan (35) dan Adrian Raj Dominic (29) bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tiga rakan itu bersama enam lagi yang masih bebas telah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata parang panjang kepada Chong Yong Seng, 26, dan Tan Kang Chiat, 26, dengan merompak harta milik mereka iaitu pelbagai barang kemas bernilai RM1.4 juta.

Jenayah itu dilakukan di tempat letak kenderaan Jalan Dato Maharajalela, Kuala Kangsar pada jam lebih kurang 9.40 pagi, 6 November lalu.

Bagi kesalahan tersebut, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Tulasi Ayaoo manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan.

Muhammad Firdaus menawarkan jaminan RM30,000 setiap seorang, bagaimanapun Tulasi Ayaoo memohon jaminan paling minimum kepada anak guamnya memandangkan kesemua tertuduh telah berkahwin dan mempunyai tanggungan.

Hakim Rohaida Ishak kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai berdekatan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes pada 29 Disember depan.

Dalam prosiding sama, R.Gunasellan dan A.Anandan mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan jenis Morphine dan HTC.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 3 petang hingga 3.20 petang pada 7 November 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,500 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar ikat jamin selain pengawasan AADK selama dua tahun.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here