Johor Bahru: “Saya tidak sangka kerap selsema, kemerahan pada mata kiri dan hidung berdarah adalah simptom kanser pangkal hidung tahap tiga,” kata pekerja swasta, Siti Arziah Ismail, 61.
Siti Arziah berkata, dia hanya mengalami simptom berkenaan bagi tempoh singkat sebelum disahkan menghidap kanser pada September lalu dan doktor juga mengesan ketumbuhan di hidungnya.
Menurutnya, dia menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) selama 10 hari.
Katanya, doktor menasihatkannya supaya menjalani radioterapi selama 18 hari bermula Ahad ini di HSI dan tidak mengesyorkan rawatan kemoterapi atas faktor tertentu.
“Sebelum ini saya memang bergerak aktif, tidak memiliki sebarang komplikasi kesihatan melainkan tekanan darah tinggi dan tidak disangka tiba-tiba diuji dengan kanser.
“Sejak sebulan lalu, saya hilang selera makan, tubuh semakin lemah hingga saya bergantung kepada bantuan ahli keluarga untuk bergerak.
“Malah mata kiri saya juga semakin membengkak sejak dua minggu lalu, doktor menyatakan gejala seumpama tidak selalu berlaku pada pesakit kanser dan masih dalam proses mengenal pasti punca ia membengkak.
“Doktor juga menyatakan sel kanser berkenaan juga memberi kesan kepada otak saya,” katanya.
Siti Arziah berkata, dia yang tidak dikurniakan cahaya mata sejak berkahwin bersyukur dengan jagaan diberikan suaminya, Baazlan Ibrahim, 63, yang bekerja sebagai jurugambar sambilan.
Menurutnya, malah suaminya juga menanggung segala kos perubatan serta kos berulang-alik dari rumah keluarga di Bandar Baru Uda di sini ke HSI.
Siti Arziah berkata, dia juga tidak menjamah nasi selama sebulan dan hanya bergantung kepada bekalan susu khas yang disyorkan doktor.
“Perbelanjaan membeli susu khas disyorkan doktor mencecah RM1,000 sebulan. Selain kos berkenaan, kami juga difahamkan akan dikenakan sejumlah bayaran bagi kos rawatan radioterapi di HSI.
“Kami bersyukur kerana menerima kunjungan daripada wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang menyalurkan bantuan segera dan berharap mampu mendapatkan bantuan perubatan atau sara hidup demi meringankan beban keluarga,” katanya.
Semalam, Siti Arziah menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan susu khas.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Siti Arziah menerusi akaun miliknya di Public Bank 4511679515.
Sumber: Harian Metro