Tidak Mahu Nasi Lemak ‘Favourite’ Ditutup, Pelanggan Sanggup Bayarkan Sewa

0
116
Foto: Vocket

Kulai: “Apa salahnya saya membantu peniaga nasi lemak itu yang merupakan ibu tunggal. Ketika saya susah beberapa tahun lalu, saya juga dibantu insan berbangsa Melayu,” kata ahli perniagaan, Sunny Cocco, 58.

Sunny Cocco berkata, dia terbuka hati untuk membantu peniaga nasi lemak, Hamidah Arsat, 53, yang dianggap sebagai adik angkat demi membolehkan wanita itu terus berniaga di Arked Mara Kulai di sini.

Menurutnya, dia difahamkan wanita itu berdepan kesulitan bagi menjelaskan tunggakan sewa berikutan faktor kewangan selain turut berdepan risiko untuk menggulung tikar.

Katanya, sebagai pelanggan tetap gerai makan berkenaan sejak berusia tujuh tahun, dia tampil membantu Hamidah dengan menjelaskan kesemua tunggakan sewa kira-kira RM2,000 tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Gerai nasi lemak itu bukan asing dalam kalangan masyarakat Kulai dan ia diusahakan secara tiga generasi atau secara turun-temurun sejak 50 tahun lalu.

“Nasi lemak berkenaan amat sedap dan harganya juga murah hingga ia menjadi pilihan ramai, malangnya sejak kebelakangan ini saya difahamkan pengunjung ke kawasan itu berkurangan atas faktor pembangunan sekitar.

“Saya bukan mahu nama atau pengiktirafan namun saya ingin berkongsi rezeki dengan yang memerlukan.

“Saya bersyukur kerana Hamidah menerima sumbangan saya,” katanya.

Sunny yang merupakan anak jati Johor berkata, dia yang menjadi peniaga tau fu fa memahami nasib kumpulan peniaga yang terpaksa menempuhi fasa naik turun perniagaan.

Menurutnya, dia berharap pengurusan Arked Mara mampu memberi ruang kepada Hamidah untuk terus beroperasi di situ bagi menyara anak tunggal lelaki wanita itu berusia 16 tahun.

“Selain Hamidah saya juga pernah membantu beberapa keluarga termasuk Cina dan India tanpa mengira latar belakang mereka, kita satu Malaysia, satu bangsa, tolak ketepi individu yang cuba mempolitikkan Agama.

“Saya juga pernah menjadi sukarelawan untuk membantu mangsa banjir di Batu Pahat pada tahun lalu.

“Ia memberikan pengalaman tidak ternilai bagi saya, saya juga pernah mengharungi fasa kesusahan, ketika itu kenalan Melayu membantu dan saya kenang jasa mereka selama-lamanya.

“Selain itu saya memiliki keluarga angkat Melayu di Ulu Tiram yang banyak mendidik saya untuk membuat kerja amal demi kesejahteraan orang ramai serta keluarga sendiri.

“Saya tidak akan berhenti untuk berbuat baik dan berdoa semoga diberikan kesihatan terbaik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Hamidah berkata, gerai itu pada awalnya diusahakan oleh datuknya, Ahmad Putih sebelum diambil ahli oleh keluarganya.

Menurutnya, dia pernah bercadang untuk menutup perniagaan menjual nasi lemak dan lontong itu namun arwah suaminya yang meninggal dunia pada 13 tahun lalu akibat lumpuh pernah berpesan supaya mengekalkan perniagaan itu kerana memiliki pelanggan tetap.

“Saya rasa sedih, sebak dan terharu dengan bantuan dan keprihatinan Sunny yang merupakan kawan lama sejak kanak-kanak lagi.

“Saya yang beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 12 tengahari bersyukur kerana tidak memang tangan sejak dua tiga hari lalu selepas perniagaan ditular Sunny menerusi Facebook (fb).

“Saya merupakan penerima bantuan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejumlah RM300 sebulan dan ia digunakan bagi menampung sewa rumah manakala sewa gerai pula adalah RM160 sebulan,” katanya yang menghidap darah tinggi.

Pengusaha Ham Kafe Idah Nasi Lemak itu berkata, dia cuba sedaya-upaya bagi mengekalkan perniagaan itu dan tidak mahu menghampakan pelanggan tetap.

“Nasi lemak atau lontong saya adalah resepi turun-temurun namun air tangan saya mungkin tidak sama sepenuhnya dengan arwah Datuk namun pelanggan tetap menggemarinya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan, hanya Allah mampu membalas jasa baik anda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here