Tidak Mahu Butiran Peribadi Tersebar Punca Pendaftaran Padu Masih rendah

0
135

Putrajaya: Kebimbangan mengenai butiran peribadi tidak dirahsiakan dipercayai antara punca jumlah pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (Padu) masih rendah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri merekodkan hanya 33.4 peratus daripada 24,471 warga kementerian itu dan agensi di bawahnya sudah berdaftar dalam sistem berkenaan.

“Ya memang setakat ini 33.4 peratus daripada pegawai dan kakitangan KKDW yang sudah mendaftar Padu.

“Tetapi kami sedang mengusahakan beberapa langkah pada pertengahan bulan ini kita akan lakukan beberapa tindakan untuk memastikan 100 peratus (warga KKDW) akan mendaftarkan dengan Padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata seramai 2.69 juta rakyat negara ini sudah membuat kemas kini maklumat dalam sistem Padu setakat ini.

Beliau berkata, sistem Padu mempunyai 30 juta nama penduduk dan perlu membuat pengesahan dan kemas kini maklumat masing-masing sehingga 31 Mac ini.

Ditanya lanjut mengapa jumlah peratusan pendaftaran Padu di KKDW masih rendah, Ahmad Zahid berkata, pihaknya mempunyai jalan tertentu untuk menyelesaikan isu berkenaan demi faedah bersama.

“Mungkin kesedaran belum sampai lagi. Ada juga merasakan bahawa butir peribadi itu tidak dirahsiakan tetapi kita mempunyai jalan tertentu supaya semua dapat diselesaikan kerana itu semua faedah kita bersama,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu seluruh warga KKDW memberikan kerjasama dan menterjemahkan kebersamaan dalam setiap inisiatif kerajaan dengan menyegerakan pengemaskinian sistem PADU.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengarahkan beberapa jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan semua 62 program khusus yang dirangka pada sesi pemukiman KKDW baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penubuhan jawatankuasa itu bukan sahaja dapat memacu pelaksanaan program berkenaan, malah memastikan ia dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“KKDW perlu lebih memandang ke hadapan dalam merancang pembangunan kementerian ini secara jangka masa panjang.

“Saya mahu bulan Julai nanti kita adakan semula pelaksanaan 62 program yang dicadangkan ini dan kena memastikan proses pelaksanaan itu dibuat sebaiknya supaya dapat menyusun semula keutamaan program yang dapat memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here