Kuala Lumpur: “Saya berpegang prinsip menyelesaikan hutang (dengan kudrat sendiri) dan perkongsian ini bukan untuk meminta bantuan wang sebaliknya saya hanya mahu dapatkan kerja.”
Begitu kata Ariff Luqman Peter Lisut, 27, apabila sanggup menjual semua aset miliknya dan berumah di dalam Proton Wira demi melunaskan hutang lebih RM1 juta sejak dua tahun lalu yang kini berbaki RM100,000.
Perkongsian Ariff Peter termasuk di muka depan Harian Metro pada 25 September lalu turut mendapat pujian ramai sehingga ada pihak mahu dia berkongsi kisah itu sebagai kesedaran awam.
Bagaimanapun, lelaki itu tidak menganggap dirinya bagus atau mahu berbangga dengan tindakan berkenaan kerana masih terlalu jauh untuk dijadikan contoh disebabkan apa dilakukan adalah untuk ‘membaiki’ kesilapan lalu.
Menurutnya, beberapa individu menghubunginya untuk bertanya cara mengendalikan hutang, malah ada juga meminta berkongsi cerita dalam mendidik masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan.
“Sejujurnya saya takut (banyak menerima pujian masyarakat) sebab apa yang saya buat sekarang adalah untuk membaiki kesilapan lalu dan saya tidak pernah berasa diri ini bagus, malah jauh sangat untuk dijadikan contoh.
“Yang paling penting apabila kongsi kisah ini di media, saya harap orang ramai mengambil pengajaran supaya kita tidak mudah terpedaya.
“Cukuplah pengalaman ini dan saya tidak mahu mengulanginya, malah harap orang ramai lebih berhati-hati dalam sebarang pelaburan,” katanya yang berkongsi kisah itu dan mengiklankan kerjanya di TikToknya, @ariffpeter.
Ariff berkata, sejak kisah kesengsaraan hidupnya dibelenggu hutang berbaki RM100,00 disiarkan Harian Metro, ada beberapa individu menawarkan bantuan wang untuk menyelesaikan masalah itu.
“Selain itu, ada juga yang menawarkan rumah sewa dan ajak tinggal bersama, tetapi saya tolak dengan cara baik, namun pasti saya sangat menghargai tawaran mereka,” katanya.
Katanya, dia menyasarkan melunas semua hutang dalam masa empat bulan dan mempunyai perancangan mencari rumah sewa selepas masalah selesai sekali gus membuatkan kehidupannya lebih tenang.
“Saya minta sedikit, tetapi Allah SWT beri banyak sangat. Apa yang saya dapat ketika ini lebih daripada diharapkan, malah tidak terkira permintaan pelanggan daripada kerja ditawarkan.
“Sekarang saya dapat peluang berkolaborasi dengan beberapa usahawan menawarkan kerja sampingan kepada individu senasib. Ada kerja saya tak dapat buat atau lokasinya jauh dari saya boleh dikongsi bersama,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, sikap tanggungjawab berkenaan perlu dicontohi dalam melunaskan baki hutang, sedangkan kerugian dan risiko urusniaga perlu dipikul bersama kerana berlaku tanpa paksaan.
“Keputusan membayar hutang itu bukti keperibadian mulia, namun tetap memberikan tekanan di atas bebanan emosi yang luar daripada kebiasaan.
“Ia mungkin diambil sebagai pengajaran dan tauladan untuk lebih berhati-hati. Hidup berteraskan realiti hukum alam iaitu seimbang dunia realiti bukan fantasi dengan desakan kehendak untuk meraih keuntungan tanpa usaha setimpal,” katanya.
Sumber: Harian Metro