Tidak Diberi Cuti Langsung, Majikan Tak Berhati Perut !

0
91
Foto: Harian Metro

Kuala Lumpur: Dua tahun bekerja tanpa cuti. Itu yang terpaksa ditanggung wanita warga Indonesia iaitu seorang daripada pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam Op Sapu di sebuah Kondominium di Kepong di sini, tengah malam tadi.

Ratna, 38, berkata, dia terperangkap dalam situasi itu selepas menjadi mangsa penipuan ejen yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan di Malaysia.

“Beberapa tahun lalu saya masuk ke Malaysia, tak silap melalui Johor untuk bekerja dengan seorang majikan tempatan sebagai pembantu rumah di Kota Damansara, tetapi saya melarikan diri kerana tidak tahan.

“Empat bulan pertama kerja di sana saya langsung tidak menerima gaji kerana perlu membayar kos perjalanan ke Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

Wanita kelahiran Bandung, Indonesia itu berkata, selepas kira-kira 5 bulan bekerja, dia mengambil keputusan melarikan diri kerana sudah tidak tahan dengan beban kerja yang terlalu berat.

Katanya, selepas itu dia mendapat kerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kondominium di sekitar Kepong, di sini dan bekerja sehingga dia ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur kerana tiada dokumen sah.

“Di sini saya dibayar sebanyak RM2,000 sebulan untuk kerja selama lapan jam setiap hari tanpa cuti, cuma kadangkala dapat halfday (separuh hari) malah semasa cuti umum pun kami perlu bekerja.

“Kalau cuti walaupun sakit tiada gaji akan diberikan. Gaji ikut hari ada kerja ada gaji. Saya penyelia, pekerja bawahan saya lebih kasihan, hanya dibayar RM1,400 sahaja,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama JIM Kuala Lumpur menahan tiga beradik warga Myanmar bersama ratusan helai jersi dipercayai tiruan yang disyaki dijual salah seorang Pati terbabit secara dalam talian.

Abang sulung daripada tiga beradik itu, Wi Yen, 21, mengakui menerima upah sebanyak RM500 daripada seorang warga tempatan bagi menjual dan menyimpan jersi-jersi berkenaan di kediaman terbabit.

“Saya baru satu tahun kerja di sini selepas masuk ke Malaysia dari Myanmar menggunakan ejen dengan bayaran RM3,000 dalam dua tahun lalu.

“Upah ini cukup untuk saya makan dan sebagainya kerana sewa rumah dan lain-lain bil ditanggung oleh bos (majikan),” kata pemuda itu yang agak fasih berbahasa Malaysia.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi mendapati rata-rata daripada Pati yang ditemui bekerja di kawasan berhampiran dan tinggal di rumah yang dibayar oleh majikan masing-masing.

Selain pekerja kawasan itu turut didiami oleh pelajar warga asing yang menuntut di institusi pendidikan tinggi di sekitar Lembah Klang.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here