Tidak Daftar PADU Mungkin Akan Terlepas Bantuan, Subsidi Kerajaan

0
114
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR – Terdapat kemungkinan individu yang tidak mengemaskini maklumat di dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan tertinggal daripada menerima bantuan dan subsidi Kerajaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, bagaimanapun, kerajaan akan menggunakan kaedah pengintegrasian untuk membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah.

Menurutnya, sehingga 12 Mac, Padu telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.

“Ini termasuk maklumat 8.6 juta pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk golongan B40 warganegara Malaysia.

“Oleh yang demikian, Kerajaan memohon sokongan dan kerjasama semua pihak bagi meningkatkan usaha mendaftar dalam sistem Padu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berhubung alternatif buat individu yang tidak dapat mendaftar Padu dan jaminan mereka tidak akan ketinggalan dari mendapatkan bantuan Kerajaan.

Tambah Hanifah Hajar, pendaftaran tidak diwajibkan tetapi digalakkan kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas untuk mengemas kini maklumat dan data menerusi Padu.

“Setakat 19 Mac, hampir 6.03 juta bersamaan 27.4 peratus penduduk tetap di Malaysia telah mendaftar Padu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here