KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak meneruskan dasar pemberian tol percuma pada musim perayaan bermula tahun ini pasti mengejutkan ramai pihak.
Bagaimanapun Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Seperti sedia maklum inisiatif tersebut sering dilaksanakan oleh kerajaan bagi meringankan beban pengguna jalan raya terutama kumpulan B40 dari segi mengurangkan kos perjalanan.
Selain itu, ia juga secara langsung meningkatkan motivasi sesetengah orang untuk pulang ke kampung halaman dan meraikan sambutan perayaan bersama ahli keluarga.
Sudah pasti, tindakan untuk tidak meneruskan lagi tol percuma pada tahun ini akan mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak.
Menjelaskan keputusan kerajaan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian tol percuma sempena musim perayaan tidak menyelesaikan masalah kesesakan di lebuh raya.
Malah katanya, kerajaan juga terpaksa menanggung pampasan lebih RM35 juta sehari kepada syarikat konsesi tol.
Katanya, walaupun pampasan itu tidak diberikan secara tunai, tempoh konsesi tol terpaksa dipanjangkan dan ia membebankan kerajaan.
Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada pengendali pengangkutan awam berbanding pemberian tol percuma pada musim perayaan.
Langkah tersebut katanya, dilihat lebih strategik selain mampu menangani masalah kesesakan kenderaan serta mengurangkan beban kewangan kerajaan.
Selain itu, insentif kepada pengendali pengangkutan awam seperti bas ekspres, kereta api dan kapal terbang juga boleh menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
Dalam pada itu, Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan beberapa inisiatif termasuk pemberian subsidi kepada pengguna jalan raya yang berdepan kekangan kewangan menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina, minggu depan.
Ujar beliau, mekanisme tersebut boleh dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada pengguna yang melakukan perjalanan melebihi 400 kilometer.
Meskipun rakyat tidak lagi menikmati faedah tol percuma pada masa hadapan, namun kerajaan sudah pasti akan merangka sesuatu dasar yang lebih bermanfaat untuk masyarakat secara bersasar.
Pastinya, penggunaan trafik dijangkakan berkurang berbanding perayaan sebelum ini memandangkan pengguna mungkin lebih berfikir sebelum membuat perjalanan jauh.
Selain itu, pengguna jalan raya juga mungkin memikirkan alternatif lain seperti pengangkutan awam sekali gus mendorong kepada peningkatan penggunaan perkhidmatan tersebut pada tahun ini.
Sumber – Sinar Harian