IPOH, 27 Oktober- Polis mengesahkan hantaran yang dimuat naik seorang pengguna media sosial mendakwa beberapa warga asing menjual sate anjing berhampiran sebuah pasar raya di Sitiawan, di daerah Manjung adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata hantaran mengenai sate daging anjing yang dimuat naik itu tidak benar.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial dengan nama Md Sani Md Shah mendakwa warga Myanmar dan Bangladesh ditahan pihak berkuasa kerana menjual sate menggunakan daging anjing berhampiran sebuah pasar raya di Sitiawan.
Berdasarkan gambar yang dilampirkan pada hantaran tersebut mendapati ia adalah kejadian lama yang dipercayai berlaku di Bazar Geylang Raya di Singapura pada 2017.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung Syamsul Hazeman Md Salleh turut mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan berkenaan.