KUALA LUMPUR – Kemelut rumah tangga pelakon Idzham Ismail berakhir selepas disahkan bercerai dengan isterinya, Nur Abilah Shamsudin di Mahkamah Rendah Syariah Klang, hari ini.
Enggan mendedahkan punca perceraian secara terperinci, Idzham atau nama lengkapnya Muhammed Idzham Ismail, 36, mengakui gagal mendidik isteri dengan sempurna sehingga tidak mampu mengekalkan rumah tangga mereka.“Ya, semuanya sudah selesai pagi tadi, saya tak mahu rujuk dan tawar hati.
“Dia pun mungkin tawar hati juga, jadi nak rujuk pun buat apa.
“Benda kecil sahaja sebenarnya, Jadi, tak nak mahu buka aib dan salahkan dia sebab saya juga salah tak boleh didik dia dengan baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Dalam masa sama, pelakon filem Juvana itu mengakui sudah berusaha memulihkan perhubungan rumah tangga sejak Julai lalu namun tidak berhasil.
“Saya ada cuba pujuk dia sejak empat bulan lalu iaitu sekitar Julai untuk kembali berkeluarga.
“Ketika hari raya lalu, kami okey sahaja dan ada muatkan gambar bersama,” ujarnya.
Ditanya sama ada perpisahan tersebut berlaku disebabkan gangguan orang ketiga, Idzham menafikan dakwaan tersebut selain hanya menyerahkan takdir kepada Tuhan.
“Dalam pengetahuan saya, tiada (orang ketiga). Kalau ada pun hanya Allah yang tahu,” jelasnya.
Hari ini, Idzham mengundang perhatian ramai apabila mengumumkan mengenai perceraian dalam Instagram.
Pada 10 Oktober, Idzham dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang tetapi belum bersedia untuk berkongsi butiran lanjut berhubung kunjungan ke premis.
Sebelum ini, Idzham pernah memuat naik status yang seolah-olah memberi bayangan wujud konflik dalam rumah tangganya.
Susulan itu, ramai menebak perkahwinan yang dibina dengan kru kabin itu kini sedang bergolak.Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada Ogos 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nur Sofea Inara, 7, serta Muhammad Idrus, 4.
Sumber – KOSMO! ONLINE.