Tiada Cukai Perkhidmatan Di Pusat Kesihatan, Rumah Urut Demi Kesejahteraan Rakyat

0
51

PUTRAJAYA – Perkhidmatan pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan seperti diwartakan sebelum ini.

Ini adalah susulan keputusan Kementerian Kewangan (MOF) agar perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuatkuasa mulai 1 Mac ini.

Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan PT&K ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sebagaimana yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani dan diterapkan dalam kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

“Keputusan yang dipersetujui oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini adalah langkah untuk meningkatkan kesihatan diri keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi Madani juga akan giat memperkasakan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa.

“Maka pengusaha-pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sehubungan dengan keputusan tersebut, pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan Akta 775 tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan seterusnya tidak mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan.

Ini melibatkan perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

MOF juga bersetuju supaya keputusan tersebut terpakai ke atas perkhidmatan disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut atau tempat seumpamanya dikendalikan oleh pengamal PT&K berdaftar dengan Akta 775 bagi perkhidmatan di atas untuk tempoh sebelum 1 Mac ini. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here