TAIPING – Sebuah keluarga susah di Jalan Lombong, Kampung Tebing Tinggi di Matang, di sini terpaksa menggunakan air hujan dan sumber air boring untuk mandi ekoran ketiadaan bekalan air bersih sejak lima tahun lalu.
Menurut Hasmah Yahya, 68, keluarganya telah membuat surat permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memasukkan air paip ke rumahnya kepada Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang Selama pada 31 Julai 2018.
Katanya, permohonan itu dibuat kepada pihak berkenaan kerana status tanah yang didiami milik kerajaan, namun sehingga kini keluarga itu tidak mengetahui status permohonan tersebut, nyata Kosmo!.
“Jika mahu mandi, mencuci pakaian serta wuduk, kami menggunakan sumber air boring meskipun air yang keluar itu tercemar dan berbau. Air hujan pun kami tadah.
“Untuk memasak dan minuman, kami mengambil air paip dari kawasan Masjid Matang. Hanya itu pilihan yang kami ada,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Hasmah memberitahu, dia bersama suami, Shamsudin Ariffin, 73, yang uzur dan terlantar sakit hanya bergantung harap kepada anak sulungnya, Azhar, 41, yang bekerja sebagai nelayan, manakala anak keduanya, Azri, 40, pula orang kelainan upaya (OKU).
“Pendapatan sebagai nelayan tidak tetap, jika dia turun ke laut dan bawa balik ikan, maka itulah makanan kami sekeluarga, namun sekiranya tiada, maka kami akan makan apa yang ada sahaja termasuk ikan kering.
“Anak kedua yang juga golongan OKU mendapat bantuan bulanan sara hidup daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wang itu digunakan untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional Hasmah Yahya 0822841000039129 atau menghubunginya di talian 014-3218 786.
Sumber: Kosmo