HANGZHOU, 3 Oktober- Atlet senior memanah kebangsaan, Mohd Juwaidi Mazuki mengakui punca kekalahannya di peringkat suku akhir acara compound individu lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, hari ini adalah peralatannya iaitu ‘thumb release’.
Dalam aksi tersebut, Mohd Juwaidi tewas kepada Joo Jaehoon dari Korea Selatan 135-148 sekali gus gagal mara ke pusingan seterusnya.
Beliau yang mensasarkan pingat pada acara tersebut menjelaskan kekalahan itu adalah disebabkan masalah teknikal membabitkan ‘thumb release’ yang mengakibatkannya gagal melepaskan panahan dengan baik.
“Apa yang berlaku hari ini peralatan macam tak sedap, tetapi memang masalah peralatan, jadi pelepasan panahan saya tak nak keluar.
“Pelepasan mekanikal ataupun ‘thumb release’ bila dah jadi hal, ditambah waktu pun dah singkat, memang tak dapat nak buat apa. Jadi terpaksa lepaskan, sayang, sebab saya sasarkan acara ini,” katanya.
Mohd Juwaidi yang membuat penampilan ketiga di Sukan Asia berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku selepas segala peralatan sudah diperiksa dan diyakini berada pada tahap terbaik.
“Saya akan berbincang bersama jurulatih untuk memastikan masalah sama tidak lagi berlaku ketika turun beraksi dalam acara compound berpasukan campuran dan berpasukan lelaki, kelak,”katanya.
Acara compound berpasukan campuran dan berpasukan lelaki masing-masing akan berlangsung pada esok dan lusa.
Dalam acara berpasukan campuran, Mohd Juwaidi akan bergandingan dengan Fatin Nurfatehah Mat Salleh sementara dalam acara berpasukan lelaki beliau akan bersama Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz, Mohamad Syafiq Md Ariffin.