Terus Sokong Perjuangan Palestin, Malaysia Tidak Akan Henti Pengaruh Negara Lain

0
90
Foto: TVS

KUALA LUMPUR, 2 November- Malaysia akan terus berusaha mempengaruhi negara-negara lain dan tidak akan berhenti melakukan libat urus dalam menyokong perjuangan Palestin dan mengutuk dengan keras kekejaman rejim Zionis.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia perlu meneruskan usaha mempengaruhi bukan sahaja dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) malah Kumpulan 77 Negara (G77) dan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

“Libat urus itu perlu kita teruskan dan kita jangan putus asa kerana kita tahu bahawa antara tempat yang mempunyai kuasa mempengaruhi (adalah) seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan juga negara Amerika Latin.

Kita mulai melihat pelbagai negara, misalnya satu per satu negara di Amerika Latin mulai menyatakan pendirian mereka menentang rejim Israel yang melakukan penganiayaan berterusan terhadap rakyat di Gaza,” katanya.

Zambry berkata malah, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte juga mengakui ketika ini, dua per tiga rakyatnya yang menyokong tindakan Israel sebelum ini telah bertukar menyokong Palestin.

Rutte, dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya turut menghormati pendirian Malaysia dalam mempertahankan isu Palestin.

Ketika mengulas mengulas tindakan Kerajaan Amerika Syarikat yang menghantar tiga demarche (tatatindak) kepada Malaysia agar tidak meneruskan pendirian terutama keengganan negara untuk menganggap Hamas sebagai badan pengganas, Zambry mejelaskan kedudukan prinsip Malaysia sangat jelas dalam konteks perjuangan Palestin.

“Ini (prinsip Malaysia) bukan perkara baharu tapi sejak dulu lagi dan ini perlu ditegaskan apabila kita berinteraksi dengan mereka.

“Ada yang kata kita perlu hantar nota protes atau panggil duta negara-negara terlibat…kita guna semua pendekatan itu untuk sampaikan balik pandangan dan pendirian kita,”katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here