Teruk Dikecam, Syada Amzah Tetap Bangga Dengan Karier Penyanyi

0
49
Foto: Beuatifulnara

PETALING JAYA – Video nyanyian saduran dikecam teruk, penyanyi Syada Amzah berlapang dada dengan segala cacian dan makian netizen.

Ujar pemilik nama penuh Nursyuhada Amir Amzah itu, dia mengerti ramai tidak berpuas hati dengan isu keluarganya sebelum ini sehingga melepaskan kemarahan pada video yang tidak mempunyai apa-apa kaitan.

“Video saya dikecam mungkin sebab isu lama saya, saya faham mereka masih lagi terasa hati. Jadi benda yang tiada kaitan pun jadi isu.

“Saya tidak salahkan netizen, kalau saya jadi orang luar mungkin akan rasa benda sama walaupun itu bukan niat sebenar saya.

“Jauh sekali untuk mencari publisiti, kalau saya mahu berbuat demikian, saya akan cari pihak media. Saya tak rasa saya tagih perhatian, paling penting niat kita,” katanya dalam sebuah program hiburan.

Enggan semangat dipatahkan dek kecaman, adik kepada penyanyi Shila Amzah itu bagaimanapun menghargai setiap komen netizen selain bangga dengan perjalanan kariernya sebagai penyanyi.

“Sejujurnya saya sedikit pun tidak terasa, kita hanya manusia biasa dan saya sendiri pun tak harap semua orang sukakan saya.

“Lagu Tamil dan Arab adalah lagu paling susah dinyanyikan. Mungkin netizen komen untuk sakitkan hati tapi bagi saya itu merupakan satu pujian.

“Saya sebenarnya dah sampai tahap saya bernafas pun orang tak suka. Tapi mungkin mereka tidak mengenali saya, kalau kenal rapat, saya orangnya jenis mudah buat kawan,” katanya panjang lebar.

Selain isu keluarga, Syada turut menerima kecaman hebat apabila mutu vokalnya menjadi bahan pertikaian ramai selepas menyanyikan lagu Arab berjudul Kalam Eineh.

Rata-rata netizen menyuruhnya berhenti menyanyi dan akur bahawa bakatnya tidak setanding kakaknya yang sudah ‘mendunia’ sehingga berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here