PETALING JAYA – Berita gembira bagi golongan milenial (Gen Y) apabila Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hanya melibatkan remaja yang lahir pada 2007 dan seterusnya.
Baru-baru ini tular di media sosial apabila ada pihak mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN bagi fasa baharu adalah individu berumur antara 16 hingga 35 tahun.
Rentetan itu, pengguna media sosial sejak semalam meluahkan rasa tidak puas hati kerana berpeluang untuk dipilih menyertai program berkenaan.
Berdasarkan tinjauan Kosmo, ramai yang mula berkongsi video jenaka tentang PLKN dan mula menjadi tular di media sosial.
Keputusan ini mendatangkan kelegaan terutamanya kepada golongan yang berusia 25 tahun ke atas, yang gembira dengan pengumuman tersebut.
“Saya antara yang tahu lebih awal dengan kenyataan ini, tapi saya biarkan sahaja kerana lucu melihat reaksi dari rakyat Malaysia,” ulas Amal.
“Terlepas peluang nak tengok Kieda Crepe jadi ketua platun,” tambah Aminnur Amin.
“Lega rasanya, buat penat sahaja risau. Geng yang lahir tahun 90-an, kita boleh tarik nafas lega sekarang,” tulis Ryn.
Tambah Shahira, rugi buat mereka yang tidak pernah memasuki PLKN.
“Kenangan paling berharga. Tiga jam berjalan di dalam hutan dengan beg yang berat dan saya rasa macam nak pengsan.
“Dengan botol air dekat pinggang lagi. Tapi PLKN memang seronok,” jelasnya.
Sumber: Kosmo