BUENOS AIRES, Argentina: Lionel Messi direhatkan daripada aksi persahabatan antarabangsa Argentina di Amerika Syarikat akibat kecederaan hamstring.
Bintang Inter Miami itu sepatutnya beraksi untuk juara dunia itu dalam perlawanan persahabatan menentang El Salvador di Philadelphia pada Jumaat sebelum bertemu Costa Rica di Los Angeles pada 26 Mac.
Bagaimanapun kapten Argentina berusia 36 tahun itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring ketika kemenangan 3-1 Miami ke atas Nashville dalam aksi Piala Juara-Juara CONCACAF minggu lalu.
Messi, yang digantikan selepas rehat dalam kemenangan ke atas Nashville, terlepas aksi menentang D.C United di Washington pada Sabtu.
“Kapten Argentina, Lionel Messi, tidak akan berada dalam skuad untuk aksi persahabatan di Amerika Syarikat akibat kecederaan hamstring di kaki kanannya ketika pasukannya menentang Nashville SC,” kata persekutuan bola sepak Argentina.
Pengendali Miami, Gerardo Martino memberi isyarat awal berkenaan kecederaan Messi selepas kemenangan ke atas Washington pada Sabtu.
“Kami mahu dia bersedia untuk beraksi pada suku akhir Piala Juara-Juara CONCACAF. Kami tidak akan mengambil sebarang risiko,” kata Martino. – AFP
Sumber: Berita Harian