PETALING JAYA – “Gegaran hampir dua minit dan setengah jam lepas itu, kami dapat amaran tsunami. Terus kami pucat dan panik.”
Demikian pengalaman dikongsi seorang penuntut Malaysia di Jepun, Muhammad Mukmin Muhamad Faris, 23, ketika berdepan gempa bumi kuat di negara tersebut kelmarin.
Katanya, kejadian kira-kira pukul 4 petang waktu tempatan itu berlaku ketika dia dan empat lagi rakannya baru selesai makan di sebuah restoran di hentian lebuh raya selepas pulang melihat salji di Niigata memandangkan cuti musim sejuk ketika ini.
“Kemudian gempa bumi berlaku, pada mulanya kami buat biasa sahaja kerana normal gegaran kecil tidak sampai seminit di Jepun. Bagaimanapun, kali ini gegaran terasa hampir dua minit.
“Masa itu kami hairan, kenapa lama panjang sangat dan bila kami lihat di luar, bas juga bergegar termasuk meja dan kerusi di dalam restoran. Terus kami panik.
“Lepas setengah jam, kami dapat amaran tsunami daripada telefon bimbit. Pucat terus sebab tidak pernah dapat amaran tsunami dan ini kali pertama merasai gegaran sebegitu sepanjang belajar di Jepun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berdasarkan Kosmo, Muhammad Mukmin yang juga penuntut tahun akhir Universiti Utsunomiya di Tochigi berkata, mereka dimaklumkan berlaku gempa bumi di Ishikawa berukuran kira-kira 7 magnitud, manakala di Niigata pula sekitar 6 magnitud.
“Kami lihat banyak kenderaan dari lebuh raya masuk ke kawasan hentian kerana jika berlaku gempa bumi, pihak berkuasa akan menutup lebuh raya dan perlu menggunakan jalan lain.
“Pelayan restoran mencadangkan kami pulang menggunakan laluan kampung atau menunggu sehingga lebuh raya dibuka semula. Jadi kami pulang ke hotel menggunakan jalan alternatif yang mengambil masa kira-kira dua jam,” ujarnya.
Penuntut jurusan Biologi Pertanian itu berkata, banyak kenderaan dari lebuh raya memilih laluan tersebut dan ketika itu, mereka melihat kenderaan polis, bomba dan ambulans.
“Ada tempat dijadikan pusat evakuasi antaranya di sekolah dan gimnasium. Sampai saja di hotel, bangunan itu mula dihadiri penduduk sekitar memandangkan turut dijadikan pusat evakuasi.
“Kami rancang untuk pulang ke universiti. Bagaimanapun, perlu menunggu arahan daripada pihak berkuasa sama ada sudah boleh menggunakan lebuh raya atau belum,” katanya.
Menurut Kosmo, kelmarin, satu gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menggegarkan tengah Jepun, sekali gus mencetuskan amaran tsunami selain orang ramai digesa berlindung di kawasan tinggi.
Sumber: Kosmo