Terbuka Australia: Lee Zii Jia Hampiri Ke Pentas Final

0
49
Foto: Kosmo

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia hanya selangkah untuk mara ke pentas final pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia selepas melayakkan diri ke separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Quaycentre, Sydney sebentar tadi, Zii Jia dipaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan tiga set 16-21, 21-12, 21-12 ke atas pemain Jepun, Kenta Nishimoto.

Meskipun turun sebagai pemain pilihan, namun bekas juara Asia dan All England itu terlebih dahulu ketinggalan apabila tewas di set pertama sebelum bangkit dengan aksi lebih kemas pada set berikutnya.

Memasuki set penentuan, Zii Jia dapat mengekalkan momentum dan menguasai sebahagian besar permainan, seterusnya berjaya memastikan kemenangan 21-12 bagi meneruskan kemaraan ke separuh akhir.

“Mengenai perlawanan hari ini, saya cuba yang terbaik dan kutip mata demi mata. Kami juga sudah berjumpa beberapa kali sebelum ini, jadi dia memang tahu gaya permainan saya dan ia satu perlawanan sukar.

“Bagaimanapun, pertahanan saya agak baik hari ini, jadi ia menjadi antara faktor kemenangan. Saya cuba seimbangkan corak bertahan dan menyerang selain mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” kata Zii Jia kepada BWF sejurus tamat perlawanan.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan kesembilan Zii Jia ke atas pemain Jepun itu dalam 12 pertemuan selain mengekalkan aksi cemerlang apabila menewaskan Nishimoto sebanyak tiga kali sepanjang musim ini.

Menanti Zii Jia di separuh akhir esok adalah pemain Taiwan, Lee Chia Hao yang menewaskan rakan sepasukan, Chou Tien Chen dengan keputusan straight set 22-20, 22-20 dalam tempoh 51 minit.

Mengiringi Zii Jia ke separuh akhir nanti adalah beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here