Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui tentera Israel tidak sengaja membunuh tujuh kakitangan yang bekerja dengan badan amal Amerika Syarikat, World Central Kitchen (WCK) dalam serangan udara di Gaza.
Netanyahu berkata, pihaknya akan menyiasat penuh kejadian tragis itu, namun beliau tidak membuat permohonan maaf atas kematian itu.
Bagaimanapun, Presiden Isaac Herzog menzahirkan dukacita Israel dan membuat permohonan maaf kepada pengasas WCK, Jose Andres, atas kehilangan nyawa secara tragis itu.
World Central Kitchen sebelum ini berkata, serangan disasarkan tentera Israel, pada Isnin lalu, membunuh kumpulan itu, termasuk kakitangan dari Australia, United Kingdom (UK), Palestin, Poland dan Amerika Syarikat (AS)-Kanada.
UK memanggil duta Israel ke London untuk mendengar kes itu yang mengorbankan tiga rakyatnya serta menuntut Israel bertanggungjawab.
Rumah Putih berkata, Presiden AS Joe Biden juga memberitahu Andres, seorang cef selebriti Sepanyol-Amerika, beliau kecewa dan mendesak kakitangan badan amal dilindungi.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pula berkata, Washington menggesa penyiasatan pantas, teliti dan tidak berat sebelah untuk memahami dengan tepat apa yang berlaku.
Rakaman AFPTV menunjukkan bumbung kenderaan yang tertera logo kumpulan badan amal itu, bersama-sama bangkai kenderaan lain.
WCK yang berpangkalan di AS berusaha untuk memunggah makanan yang dibawa ke Gaza melalui laut dari Cyprus.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan itu, Erin Gore berkata, konvoi dua kenderaan pasukan itu yang berlogo WCK, sedang dalam perjalanan ke satu kawasan.
“Walaupun menyelaraskan pergerakan dengan (tentera Israel), konvoi itu diserang ketika ia meninggalkan gudang Deir al-Balah, tempat mereka memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laluan maritim,” katanya.
Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths mengecam Israel tidak menghiraukan undang-undang kemanusiaan.
Beliau turut menyifatkan kakitangan badan amal itu sebagai wira yang terbunuh ketika cuba memberi makan kepada penduduk Gaza yang kelaparan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Poland pula menuntut pampasan untuk keluarga tujuh kakitangan berkenaan kerana salah seorang daripadanya adalah warga Poland.
Serangan Israel berterusan di seluruh wilayah dengan kementerian kesihatan di Gaza menyatakan, 71 orang terbunuh sepanjang Isnin hingga semalam.
Tentera Israel pada Isnin menamatkan operasi selama dua minggu di sekitar hospital terbesar Gaza, Hospital Al-Shifa yang menyebabkan kompleks itu hancur dan membunuh ratusan orang.
Ketegangan serantau juga meningkat selepas Israel dipersalahkan atas serangan udara ke atas konsulat Iran di ibu kota Syria Damsyik, pada Isnin, yang mengorbankan tujuh Pengawal Revolusi dengan dua daripadanya jeneral.
Sumber: Harian Metro