LONDON – Seorang wanita di Britain mengalami ‘mimpi ngeri’ apabila mendapati seekor labah-labah membuat sarang di dalam telinganya, lapor akhbar New York Post semalam.
Lucy Wild, 29, berkata, pada pertengahan Oktober lalu, dia mula berasa tidak selesa apabila lubang telinganya terasa gatal dan seolah-olah ada sesuatu bergerak di bahagian dalam.
Wanita itu kemudian menggunakan sejenis alat pengorek telinga pintar yang mempunyai kamera, menyebabkan dia terkejut apabila melihat seekor labah-labah ‘bersembunyi’ di situ.
Selepas mendapatkan rawatan doktor, seekor labah-labah bersaiz kira-kira 1 sentimeter berjaya dikeluarkan, namun telinga Wild mengalami pendarahan dan masih berasa sakit.
‘Mimpi ngeri’ wanita dari Cheshire itu ternyata masih belum berakhir apabila pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sarang labah-labah di dalam telinganya.
“Bagaimana anda tidak menyedari bahawa terdapat labah-labah masuk ke dalam telinga?” soal doktor yang memeriksa Wild ketika itu sambil menambah, dia tidak pernah menemui kes seperti itu.
Menyifatkan rawatan mengeluarkan objek itu sebagai amat sakit, Wild bagaimanapun gembira kerana masalah telinganya telah selesai meskipun ia membuatkan wanita tersebut berasa trauma.
Sumber: Kosmo