PETALING JAYA – Seorang pelajar Malaysia di United Kingdom (UK) yang dikenali sebagai Aisyah mendapat kutukan hebat di media sosial selepas menegur satu ‘after-party’ (majlis selepas parti) yang dianjurkan persatuan pelajar di sana.
Melalui satu klip video yang dimuatnaik di aplikasi X, Aisyah telah menegur satu penganjuran ‘after-party’ selepas program sukan yang diadakan semalam yang turut ditaja oleh sebuah agensi dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Jelasnya melalui video tersebut, pada sebelah malamnya diadakan satu ‘after-party’ di sebuah kelab malam berdekatan. Semua peserta sukan dijemput bersama untuk hadir termasuk pelajar muslim.
“Ramai yang membantah dan menegur penganjur, namun penganjur tetap nak teruskan program ‘after-party’ ni. Pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pun ada keluarkan peringatan kepada pelajar tajaan mereka.
“Benda yang tidak bermanfaat, benda yang tidak elok, kalau tak pernah buat, jangan mula buat,” jelas pelajar tersebut.
Selepas membuat teguran tersebut, Aisyah teruk dibuli di media sosial malah pelbagai komen kesat turut dilontarkan kepadanya.
Bukan itu sahaja, ada yang persoalkan bagaimana dia boleh mendapat biasiswa JPA dan paling teruk apabila ada yang kaitkan keluarga termasuk ibunya yang juga pempengaruh politik dalam TikTok.
Sementara itu, ada sebilangan pelajar yang menuntut di UK turut menyokong teguran yang dilakukan Aisyah malah, ada yang memuji dia kerana berani menegur perkara yang betul.
“Pelik aku dengan pelajar sekarang kononnya dah keluar dari kepompong, betul kata Aisyah ini bukan budaya kita. Dekat mana kita belajar sekali pun adat perlu jaga jangan ikut adat dan budaya orang,” kata Anuar Daud.
“Yang aku pelik sampai petik orang Sabah dan Sarawak lagi minum tuak, ada juga kata pelajar kita tidak semuanya muslim. Aku nak bagitau kalau agama lain juga sebenarnya melarang benda-benda macam tu.
“Tak ada pun agama yang galakkan ‘after-party’ ni. Itu memang adat orang UK nak tiru buat apa,” kata Symsl Smsddn.
Sumber: Kosmo