Tayangan Awal ‘Sheriff’ Berjaya Kutip RM1 Juta

0
70
Foto: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Filem arahan Syafiq Yusof, Sheriff meraih kutipan lebih RM1 juta pada tayangan awal (sneak preview) di pawagam, semalam.

Kutipan memberangsangkan itu membolehkan Sheriff berada pada tangga pertama carta 10 filem teratas yang ditayangkan di GSC Malaysia, malah, berjaya mengetepikan filem antarabangsa.

Syafiq bersyukur atas sambutan memberangsangkan pada tayangan awal semalam, selain menyifatkan ia permulaan baik untuk Sheriff

“Kami menjangka penonton akan pergi ke pawagam terutama pada hujung minggu ini untuk menyaksikan Sheriff. Kami berharap filem ini mampu menepati cita rasa penonton.

“Ajak rakan-rakan atau keluarga meluangkan masa bersama dengan menikmati Sheriff yang memaparkan subjek ‘polis tangkap polis’ dari lakonan mantap pelakon tanah air.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada media dan pengendali pawagam dalam memberi sokongan padu kepada Sheriff,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sheriff yang akan memulakan tayangan rasmi hari ini di pawagam di seluruh negara, diterbitkan dua syarikat produksi iaitu Skop Productions dan Astro Shaw.

Filem Sheriff dibarisi pelakon handalan seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.

Sheriff menampilkan watak Nazri lakonan Syafiq, iaitu seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah didalangi Tony Ifrit lakonan Aaron semakin berleluasa.

Nazri terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana sering terlepas daripada cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Pada masa sama, Sheriff lakonan Zul, iaitu seorang anggota daripada Jabatan Integriti dihantar Ketua Polis Negara untuk menyelesaikan kes ‘Meth Killer’. Dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here