PETALING JAYA – Tersenarai sebagai lima calon akhir kategori Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) merupakan satu pencapaian yang dibanggakan pelakon Trisha Ooi.
Menurut Trisha atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 25, pencalonan kategori itu menerusi filem Janna Endoro merupakan satu tanggungjawab besar untuk menjadi sebahagian daripada penggiat seni tanah air.
“Pencalonan ini juga membuatkan saya berasa seperti di awang-awangan dan gementar. Terus terang, saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada penerbit dan pembikin filem tempatan kerana telah memberi kepercayaan kepada saya sehingga tersenarai sebagai lima calon terbaik.
“Bagi saya pencalonan ini satu tanggungjawab berat kerana pastinya khalayak mengharapkan yang terbaik daripada saya. Sama ada menang atau kalah itu belakang cerita.
“Sekiranya menang, lagi besar tanggungjawab dan kerja keras yang perlu dilakukan. Walau apa pun, saya tetap akan berusaha untuk sentiasa memberikan yang terbaik,” katanya Trisha yang ditemui dalam majlis perasmian FFM33 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kelmarin turut mengharapkan khalayak dapat menerima lakonannya dalam filem Janna Edoro itu.
“Setiap projek yang dilakukan ada kerja keras dan susah payah yang perlu dilalui. Filem Janna Endoro merupakan filem pertama yang memperlihatkan saya sebagai pelakon utama.
“Jadi saya mengharapkan agar filem ini bukan sahaja dapat membantu kerjaya seni saya, tetapi turut memberi impak kepada industri seni tanah air,” katanya.
Selain Trisha, barisan pelakon lain yang turut bersaing bagi kategori itu ialah Harissa Adlynn filem The Lord Musang King, Teoh Ying Pei (The King Of Musang King), Zera Hariz (Syif Malam) dan Takahara Suiko (Imaginur).
Anugerah FFM33 itu menyaksikan sebanyak 95 pencalonan merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari bertanding menerusi 27 kategori.
Pemenang bagi 27 kategori itu bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal membawa pulang hadiah RM10,000 dan trofi, sementara Anugerah Filem Terbaik pula akan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Malam Anugerah FFM33 bakal berlangsung pada 7 Disember ini pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media dan boleh ditonton secara siaran langsung di RTM TV2.
Sumber – KOSMO! ONLINE