Tambang Bas Ekspres Ekonomi Naik 10 Peratus Sempena Aidilfitri

0
38
Foto: Portal Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan

PUTRAJAYA – Tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi meningkat sebanyak 10 peratus pada perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu bermula 4 hingga 17 April 2024.

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), perkara itu diumumkan selepas mesyuarat jemaah menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer (skm) iaitu kenaikan 10 peratus ke atas kadar tambang semasa.

Katanya, pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa iaitu RM0.093 skm.

“Dalam usaha memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi serta mampu menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung sempena musim perayaan, APAD juga membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena Aidilfitri.

“Permohonan LPS Hari Raya Aidilfitri ini terbuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula 11 Mac hingga 2 April 2024,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

APAD berkata, tempoh sah laku LPS bagi semua permohonan yang diluluskan ialah dari 4 hingga 17 April 2024.

“Pengendali yang memohon LPS perlu memenuhi syarat-syarat oleh APAD antaranya mematuhi polisi serta spesifikasi kelas lesen bas ekspres selain bas dilengkapi sistem GPS dan had usia penggunaan tidak melebihi 10 tahun.

“Bagi bas ekspres dan bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Puspakom VR1 Khas (Kod 9009), ia dibenarkan memohon,” jelasnya.

Kata kenyataan itu, permohonan lengkap dan memenuhi syarat boleh dikemukakan secara fizikal di semua Pejabat Wilayah dan kaunter APAD . – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here