Talian HEAL Sedia Mendengar, Anda Tidak Berseorangan

0
159
Foto: Kosmo

PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita tentang pengalamannya menggunakan perkhidmatan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 mendapat perhatian orang ramai dalam media sosial.

Menerusi ciapan @shxxscha di aplikasi X, dia menyuarakan kelegaannya setelah berkongsi masalah bersama kaunselor menerusi talian khas tersebut.

“Sekarang saya sudah berasa okey cuma saya hendak kongsikan pada anda semua jika sudah rasa ‘tepu’, stres dan mental dalam keadaan yang tidak menentu, buatlah panggilan (Talian HEAL) ini.

“Tak kira apa masalah anda, jangan abaikan perasaan itu. Kaunselor akan mendengar dan dia tak akan menilai kita dengan buruk,” katanya.

Wanita itu berkongsi, ramai individu enggan membuat panggilan kerana merasakan masalah yang mereka hadapi itu kecil selain bimbang dianggap tidak serius.

“Buat hati yang masih rapuh, jangan putus asa. Anda tidak berseorangan. Akan ada yang membantu anda kalau anda sendiri mencari untuk dibantu. Kaunselor kata, diri sendiri mesti bersedia untuk dibantu,” kongsinya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mendoakan mereka yang mengalami masalah berkaitan emosi supaya segera mendapatkan bantuan.

“Akan terbit pelangi selepas hujan, begitupun gelap malam pun akan berganti pagi. Saya harap awak cepat sembuh,” komen Yaya.

“Kita sangat perlukan perkongsian ini. Terima kasih kerana membantu. Semoga kita lebih ceria tahun ini,” ujar Rida Bahar.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here