Tak Sangka Jualan Kuih Raya Dapat Sambutan!

0
20
Foto: Lobak Merah

Gua Musang: Sejak tujuh tahun lalu, Syawal membawa rezeki kepada ibu tunggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini, yang menerima tempahan pelbagai jenis biskut raya daripada pelanggannya.

Malah sejak awal Ramadan lagi Hayati Yaakob, 45, tidak cukup tidur demi menyiapkan lebih 30,000 biji biskut yang ditempah pelanggan.

Katanya, walaupun hanya membuka tempahan untuk enam jenis biskut antaranya almond London, tart nasa, Swiss hazel dan semperit susu namun permintaan pelanggan sangat menggalakkan.

Katanya, untuk tahun ini sahaja dia sudah menerima tempahan lebih 500 botol biskut daripada pelanggan termasuk dari Kota Bahru.

“Alhamdulillah tahun ini permintaan lebih daripada sebelumnya. Jadi seawal dua Ramadan saya sudah mula membuat biskut untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Setiap hari seawal 8 pagi saya mula menghasilkan biskut dengan dibantu seorang rakan. Adakalanya sehingga jam 2 pagi bergantung kepada jenis biskut yang dihasilkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Hayati berkata, dengan pendapatan sebagai penjual biskut dan kek dia menyara tiga anak yang berusia 12 hingga 21 tahun dan ibunya, Zainun Hamat, 71.

“Alhamdulillah dengan pendapatan ini dapatlah saya membeli keperluan anak-anak dan ibu untuk berhari raya nanti. Jika bukan hari raya, saya menjana pendapatan dengan membuat kek yang ditempah pelanggan di sekitar daerah ini,” katanya yang sudah tujuh tahun mengusahakan perniagaan bakeri dari rumah.

Menurutnya lagi, walaupun berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah namun dia masih mengekalkan harga biskut yang dihasilkan antara RM28 sehingga RM35 bagi setiap 50 biji.

“Biskut yang sudah siap ini saya akan dihantar secara tunai semasa penghantaran (COD) kepada pelanggan termasuk di Kota Bahru,” katanya.

Tamat.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here