KUALA LUMPUR – Isteri kepada pelawak dan penyampai radio, Shuib iaitu Watie tidak merancang untuk menimang cahaya mata sendiri selepas empat bulan berkahwin, kerana mahu memberi tumpuan terhadap empat orang anak tirinya.
Kata Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, walaupun anak-anak tirinya sendiri sudah meminta diberikan adik baharu, namun dia bimbang jika timbul rasa cemburu dalam kalangan mereka, jika dia memiliki anak sendiri suatu hari nanti.
“Untuk dapat anak sendiri, kalau ditanya, saya cuma jaga anak-anak sekarang (anak tiri). Kami tidak pernah berbincang.
“Ada permintaan sebenarnya daripada Talita nak adik baharu. Tapi bila saya bersama yang bongsu (Ayash) pun, mereka cemburu. Macam mana agaknya kalau saya ada anak sendiri?” kata Watie kepada Kosmo! Online.
Tambah Watie yang ditemui semasa sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti, di sini, semalam lagi, dia juga bimbang akan perasaan anak-anak tirinya apabila mendapat seorang lagi adik, dan akan dikatakan melebih-lebihkan anak sendiri suatu hari nanti.
“Bila mereka (anak-anak tiri) minta adik, saya bimbang nanti mereka akan kata saya lebih-lebihkan anak sendiri pula nanti. Jadi takut saya nak bagi adik,” ujar Watie.
Sementara itu, Shuib yang asyik tersenyum di samping isterinya berkata, setiap hari anak-anaknya meminta untuk diberikan adik baharu, namun buat masa ini, dia dan juga isteri belum merancang untuk menambah bilangan anak, hasil perkahwinannya buat kali kedua bersama Watie.
“Hari-hari mereka ‘order’ adik. Tapi mereka tidur sekatil bersama. Jadi macam mana? Sejujurnya, kami tidak merancang dan tidak pernah berbincang untuk tambah bilangan anak, kata Shuib semasa ditemubual bersama Kosmo.
“Kami mahu fokus empat orang ini dahulu. Lagi pun Uwais (anak sulung) sudah pun berusia 12 tahun.
“Bila dah masuk usia 12 tahun, saya kena betul-betul fokus pada dia. Saya pula sudah ada perancangan untuk jadikan Uwais pemain golf profesional.
“Lebih baik kami fokus dahulu dengan anak-anak yang ada sekarang sehingga mereka cukup dewasa. Kalau ada rezeki untuk timang cahaya mata lagi, Insya-Allah,” kata Shuib.
Terdahulu, Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhamad, 38, menamatkan zaman duda apabila bernikah dengan Watie, dengan sekali lafaz pada Jun lalu.
Sebelum itu, Shuib pernah berkahwin dengan penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya matai aitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra (10), Ariq Marin (6) dan Ayash Affan yang kini berusia 2 tahun.
Siti Sarah meninggal dunia pada tanggal 21 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Sumber: Kosmo