PETALING JAYA – Selepas dikecam hebat gara-gara nyanyiannya yang dikatakan sumbang, terbaharu selebriti sensasi, Nur Fazura dipuji netizen apabila menyanyikan lagu bahasa Inggeris.
Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, berkongsi video nyanyiannya bersama penyanyi Indonesia, Kalya Islamadina yang berjudul Make You Feel Me My Love nyanyian asal Adele.
Nyanyian pelakon filem Pisau Cukur itu berjaya menambat hati netizen yang terpukau dengan kemerduan suaranya mengalunkan lagu bahasa Inggeris.
“Sedap suaranya menyanyi lagu bahasa Inggeris,” komen netizen.
“Mungkin kekuatan Fazura adalah menyanyikan lagu bahasa Inggeris,” komen seorang lagi netizen.
Video tersebut turut mendapat reaksi positif daripada rakan-rakan selebriti termasuklah Puteri Sarah Liyana, Azza Elite, Dr Malar dan Muhammad Sajat yang meninggalkan emoji hati di ruangan komen.
“Itu sebab saya cakap beri peluang. Gagal sekali tidak semestinya gagal selamanya. Go Faz,” komen pengarah Along Kamaluddin.
Terdahulu minggu lalu video nyanyian Fazura dalam satu program hiburan di Indonesia menjadi tular dan dikecam netizen gara-gara nyanyiannya menerusi lagu Bertahan Demi Cinta.
Sumber – KOSMO! ONLINE