Tahun Hadapan, Yuran Pendaftaran IPT Tidak Akan Melebihi RM1,500

0
39
Foto: Berita Harian

PETALING JAYA – Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini dibuat supaya ia selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

Perkara itu diumumkan Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar memberitahu, pelajar sedia ada yang menghadapi kesukaran membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.

“Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran,” pesannya.

Tambah Anwar, beliau sama sekali tidak akan mengizinkan pihak universiti menghalang pelajarnya khususnya daripada keluarga susah untuk mendapatkan hak mereka sebagai mahasiswa kerana hanya tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan,” tegasnya.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here