Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perancangan untuk menaikkan kadar minimum pendaftaran haji daripada RM1,300 kepada kadar munasabah selari peningkatan kos semasa menunaikan ibadat haji.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, setakat ini perkara itu masih diteliti dan belum dimuktamadkan.
“Perancangan untuk tingkatkan ‘threshold'(nilai ambang) daripada RM1,300 (yang ditetapkan) buat masa ini untuk mereka (jemaah) layak daftar haji kepada satu kadar lebih tinggi (sedang dibuat).
“Namun, kita sedang mengkaji kadar itu dan belum ada kata muktamad mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji (TH) Bagi Tahun Kewangan 2023 di Menara TH, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Syed Hamadah turut memaklumkan berkemungkinan pengumuman mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Januari lalu, Mohd Na’im berkata, pihaknya sudah melaksanakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi TH berhubung syor menaikkan kadar minimum pendaftaran haji, selari dengan kos haji semasa.
Beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada TH supaya perubahan dilakukan terutama berkaitan mekanisme pendaftaran haji.
Ini berikutan kos semasa pendaftaran haji iaitu RM1,300 bagi seorang pendeposit terlalu rendah dengan wujud keperluan untuk TH memperhalusi mekanisme pemilihan jemaah haji termasuk aspek kemampuan kewangan mereka.
Sumber: Harian Metro