Beijing: Untuk menggalakkan gaya hidup sihat, sebuah syarikat kertas di Wilayah Guangdong, China, memberikan bonus kepada pekerjanya yang bersenam dengan cara berlari.
Portal Oddity Central melaporkan, Guangdong Dongpo Paper memberikan ganjaran bonus itu menggantikan skim bonus atau ganjaran kewangan berasaskan prestasi penilaian tradisional sebagai tambahan dengan satu daripadanya berdasarkan prestasi aktiviti kecergasan.
Pihak pengurusan memutuskan untuk memberi ganjaran kepada 100 pekerjanya itu berdasarkan berapa jarak larian.
Sebagai contoh, seorang pekerja akan layak mendapat bonus bulanan penuh, jika mereka berlari sejauh 50 kilometer (km) sebulan.
Pekerja akan mendapat 60 peratus daripada bonus untuk berlari 40 km, dan 30 peratus untuk 30 km. Peminat larian berpeluang mendapat bonus 30 peratus, jika mereka dapat membuktikan mereka berlari lebih 100 km dalam satu bulan.
“Perniagaan saya hanya boleh bertahan jika pekerja saya sihat,” kata bos Dongpo Paper, Lin Zhiyong, sambil menambah bahawa dia menghabiskan tiga tahun kebelakangan ini dengan menggalakkan pekerjanya menikmati sukan dan kecergasan.
Jarak direkodkan oleh setiap pekerja dijejaki oleh aplikasi pada telefon mereka, yang turut mengambil kira aktiviti seperti mendaki gunung dan berjalan pantas, yang masing-masing boleh menyumbang 60 dan 30 peratus daripada jumlah senaman yang diperlukan.
Program ini membuktikan kejayaan yang hebat, dan Lin Zhiyong, yang juga seorang peminat senaman, mendakwa bahawa semua pekerja layak untuk mendapat bonus penuh.
Sementara dasar baharu itu mendapat maklum balas positif secara umumnya dalam talian, sesetengah pihak percaya ia boleh membawa kepada diskriminasi.
“Niat dasar syarikat adalah baik tetapi ia harus mengambil kira sebarang keadaan sedia ada atau isu kesihatan dalam kalangan pekerjanya,” komen seorang netizen.
Dia bertanya apakah polisi itu wajar untuk pekerja yang berisiko mendapat serangan jantung atau sebaliknya tidak dapat memenuhi keperluan bonus.
Netizen lain menuduh Guangdong Dongpo Paper meletakkan kesihatan pekerjanya pada risiko dengan menetapkan ambang bonus yang sangat tinggi untuk mereka.
Sesetengah netizen percaya bahawa pekerja boleh merosakkan lutut mereka dalam usaha untuk ‘mengejar’ bonus.
Sumber: Harian Metro