Thursday, October 30, 2025
HomeSUKANJangan Jadikan Media Sosial Tempat Hina, Maki, Serang Peribadi Atlet' - Lee...

Jangan Jadikan Media Sosial Tempat Hina, Maki, Serang Peribadi Atlet’ – Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR: “Bagaimana perasaan anda jika anak atau ahli keluarga anda sendiri yang diserang sebegitu rupa di media sosial?”

Itu persoalan yang dibangkitkan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei terhadap tindakan segelintir peminat yang melemparkan kecaman melampau terhadap pemain kebangsaan selepas kekalahan di pentas antarabangsa, baru-baru ini.

Chong Wei yang baharu saja dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan, peminat seharusnya menyuarakan pandangan secara membina dan bukan menjadikan platform media sosial sebagai tempat menghina, memaki atau menyerang peribadi atlet.

“Kalau tak mahu sokong, jangan komen bukan-bukan. Kita semua manusia, atlet pun tak mahu kalah. Mereka berlatih setiap hari untuk bawa nama negara,” katanya kepada BH Sukan.

Sebelum ini, BAM mengecam keras tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang meninggalkan mesej berbaur penghinaan dan ugutan terhadap pemain di media sosial.

Badan induk itu menegaskan bahawa tiada ruang untuk kebencian, intimidasi atau diskriminasi dalam sukan, selain menjamin kebajikan serta keselamatan pemain akan terus menjadi keutamaan.

BAM bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemain yang menjadi mangsa kecaman melampau peminat di media sosial itu.

Chong Wei turut mengingatkan peminat agar lebih berempati dan meletakkan diri mereka di tempat atlet.

“Bayangkan kalau yang kena itu anak atau keluarga anda sendiri, apa perasaan anda? Atlet sudah banyak berkorban untuk negara, janganlah tambah tekanan dengan komen yang menyakitkan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menitipkan nasihat kepada pemain agar tidak terlalu terkesan dengan kritikan negatif, sebaliknya terus fokus pada kerjaya dan prestasi di gelanggang.

“Kalau boleh, kurangkan tengok komen di media sosial. Tapi saya tahu bukan senang.

“Cuma yang penting, buktikan di gelanggang. Itu jawapan paling baik,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Menurutnya lagi, setiap atlet pasti melalui kitaran prestasi turun naik, justeru kekalahan tidak harus dijadikan alasan untuk dihukum seolah-olah mereka tidak berusaha.

“Tiada atlet yang mahu kalah. Kalau mahu kalah, mereka takkan berlatih tujuh, lapan jam setiap hari. Tapi dalam sukan, ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Itu lumrah,” katanya.

Chong Wei, berharap media sosial dijadikan medan motivasi, bukan platform untuk menjatuhkan semangat atlet.

“Gunakan media sosial untuk beri sokongan dan semangat. Kalau tak suka, tak apa, tapi jangan komen yang bukan-bukan,” katanya.

Sumber – Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Must Read

Budaya ‘Cancel’ Tak Sihat – Elvina Pertahan Diri Isu Babak Panas

0
KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Elvina Mohamad, meluahkan rasa kesal apabila berhadapan dengan budaya 'cancel' selepas sedutan babak panas dalam drama terbaharunya, Safira, tular di...

CATEGORIES