Suka Senyum, Jaga Pantang Rahsia Wanita Kelantan Panjang Umur

0
158
Foto: Astro Awani

Kota Bharu: Suka senyum dan menjaga pantang ketika bersalin antara faktor membantu wanita di Kelantan lebih panjang umur.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, dari segi jangka hayat penduduk Kelantan, wanita lebih panjang umur iaitu 74.8 tahun berbanding lelaki 69.5 tahun.

“Wanita Kelantan suka senyum, peramah dan jaga pemakanan. Mungkin juga ketika waktu muda mereka sangat menjaga pantang larang terutama waktu dalam berpantang (bersalin).

“Mereka juga kerja kuat dan sangat menjaga pemakanan maka tidak hairanlah semua ini menjadi faktor yang membantu kepada jangka hayat lebih panjang selain amalan doa yang sesuai,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah lantikan 34 ahli Majlis Perundingan Wanita Negeri dan 438 ahli Majlis Perundingan Wanita Parlimen di sini.

Rohani berkata, dari segi kebajikan warga emas terutama kaum wanita, pihaknya menerusi Majlis Perundingan Wanita Kelantan dan Skuad cakna sentiasa menyediakan khidmat yang diperlukan.

Menurutnya, setakat ini beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sudah berurusan dengan pihaknya dalam usaha memfokuskan kepada kebajikan warga emas.

“Di Kelantan agak banyak rumah warga emas swasta yang ada manakala di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menyediakan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap jajahan.

“Kita rasa ia sudah mencukupi namun ada beberapa NGO yang datang sekali gus ingin bekerjasama dalam menawarkan khidmat kebajikan terhadap warga emas dan kami sangat mengalu-alukan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here