Kuala Lumpur: Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad, 43, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru, Johor.
Menurut sumber Harian Metro, Suhaimi kini terpaksa ditidurkan dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
“Suhaimi dikatakan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman dan kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya.
“Difahamkan dia mengalami batuk kronik sejak empat bulan lalu, cirit-birit selama tiga bulan dan berat badannya turun mendadak,” katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan Suhaimi sudah berada di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi hantaran pemilik akaun, Akumaru yang berkongsi berita keadaan Suhaimi yang didakwa kini sakit teruk dan memohon didoakan kesembuhan buat bekas anggota kumpulan In-Team itu.
Untuk rekod, Suhaimi berkahwin dengan penyanyi, Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Sumber: Kosmo