KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penganjur konsert, Sufie Rashid bersyukur selepas Mahkamah Sesyen di sini, mengarahkan bekas rakan niaga dikenali sebagai Jai membayar ganti rugi berjumlah RM165,000 terhadapnya berhubung tuntutan kes penipuan penganjuran sebuah festival muzik di Sepang, Selangor sekitar dua tahun lalu.
Menurut Sufi atau nama penuhnya Mohammad Sufie Rashid, kes penipuan penganjuran konsert di Sepang itu turut membuatkan syarikatnya mengalami kerugian sekitar RM1.2 juta.
“Dalam perjanjian, dia perlu bayar kepada saya sebanyak RM1 juta tetapi yang diterima hanya setengah juta. Kalau tak mampu, kami beri kelonggaran.
“Untuk adakan acara di sini perlu melibatkan warganegara Malaysia dan syarikat itu didaftarkan di bawah nama isteri saya. Jadi, kesannya lebih dirasai oleh isteri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang media Aura Ernie Zakri Live in Concert di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sufie memberitahu perkara tersebut memberi impak emosi terhadap isterinya sehingga mencetuskan rasa takut.
“Syukur hasil melantik peguam yang bagus, keputusan mahkamah berpihak kepada kami pagi tadi.
“Memang bayaran yang diterima kami tidak balik modal tetapi semua ini untuk memberi pengajaran agar tidak melakukan hal sama terhadap orang lain,” ujarnya.
Tambahnya, kes tersebut turut membuatkan beberapa perancangan dan penganjuran konsert anjuran syarikatnya, SAH Entertainment tertangguh.
“Isu ini ganggu banyak perkara tetapi lega semuanya sudah berakhir.
Dalam pada itu, insiden ini turut membuatkan dia lebih berhati-hati untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menganjurkan sebarang acara.
“Selepas ini memang akan ada hitam putih untuk sebarang persetujuan walaupun dengan kawan sendiri,” katanya lagi.
Hari ini, Sufie mengundang perhatian selepas memuat naik hantaran memaparkan tangkap layar surat perintah mahkamah yang mengarahkan pihak defendan perlu membayar ganti rugi am yang ditafsirkan oleh pihak mahkamah.
Sumber – KOSMO! ONLINE