SIBU: Hasrat seorang pemuda dari Kuching bersanding di pelamin musnah selepas diperdaya ‘tunang’ yang sebenarnya adalah isteri orang dan berjanji untuk berkahwin pada 10 November lalu.
Lebih malang lagi, wanita yang didakwa sudah mempunyai dua anak itu dikatakan bersubahat dengan bapanya hingga menyebabkan ‘tunangnya’ yang berusia 28 tahun kerugian kira-kira RM30,000 membabitkan kos keseluruhan persediaan perkahwinan mereka.
Selain kecewa, pekerja luar pesisir itu berkata, maruah keluarganya turut tercalar akibat perbuatan wanita yang didakwa anggota badan beruniform bertugas di selatan tanah air, lapor Berita Harian.
Berikutan itu, lelaki berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Daro pada 10 November lalu dan perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut perkara berkenaan.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook yang tular sejak semalam, seorang lelaki mendakwa mengenali wanita berkenaan sejak 2021 dan melangsungkan pertunangan pada 12 Oktober tahun lalu di Kuching.
Lelaki itu mendakwa, mereka sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah pada 10 November dan majlis persandingan pada 11 November di rumah pengantin perempuan di Matu, Mukah.
“Hari yang sepatutnya menjadi hari paling bahagia untuk aku tetapi jadi mimpi ngeri,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
Menurut Berita Harian, pada hari sepatutnya berlangsung akad nikah, lelaki itu bersama rombongan 22 orang tiba di rumah pengantin perempuan tetapi hairan kerana tiada tanda persiapan majlis dibuat.
Mangsa cuba menghubungi calon isteri yang berusia 30 tahun dan bapanya namun gagal.
“Selepas itu, saya pergi ke rumah jiran sebelah dan rupanya tuan rumah sebelah itu mak saudara si pengantin perempuan. Jadi kami beritahu tujuan datang dan tanya mengenai pengantin perempuan sama ada kenal atau tidak.
“Bertambah geram dan terkejut apabila mereka beritahu nama sebenar dia. Lagi parah perempuan tu sudah berkahwin dan ada dua orang anak,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Mangsa turut memuat naik gambar wanita berkenaan dan bapanya di laman Facebook.
Sumber: Berita Harian