KUALA LUMPUR – “Apa yang saya suarakan dalam media sosial sekadar pendapat.”
Demikian kata pelakon Rashidi Ishak yang mengakui tiada niat menyakiti hati Fazura apabila mengkiritik nyanyian aktres itu sebelum ini.
Kata Rashidi, 51, Fazura memiliki suara yang baik namun memerlukan banyak latihan vokal bagi mengelakkan insiden persembahan secara langsung di sebuah stesen televisyen Indonesia berulang.
“Sama seperti pengguna media sosial lain, saya menggunakan platform ini sebagai medium berkongsi pendapat.
“Perkara itu hanya pandangan ikhlas saya. Tak dinafikan suara Fazura memang sedap sebagai seorang penyanyi pop namun berdasarkan video yang tular itu nyanyiannya sumbang.
“Untuk menjadi penyanyi, latihan amat penting. Mungkin kerana kurangnya latihan nyanyian dan membuat persembahan secara langsung mengakibatkan perkara (suara sumbang) itu berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online.
Rashidi yang ditemui dalam sidang media tiga drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik semalam bagaimanapun memuji pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu kerana mendapat peluang membuat persembahan di Indonesia.
“Bagi saya dia sangat bertuah kerana berpeluang melebarkan sayap ke Indonesia. Sejujurnya saya memang bangga dengan kejayaan itu kerana bukan mudah menembusi pasaran seberang.
“Jadi, apabila bawa nama Malaysia ke luar negara, guna peluang yang ada sebaik mungkin,” katanya.
Terdahulu, menerusi Threads pelakon filem Untuk Tiga Hari itu pernah menasihati pengurus Fazura mendapatkan khidmat guru vokal bagi membimbing aktres berkenaan agar dapat menyanyi dengan baik.
Sumber – KOSMO! ONLINE