KUALA LUMPUR, 17 November 2024 – Castle Group mempersembahkan “Arijit Singh Live in Malaysia”, mencipta Sejarah konsert Bollywood terbesar di Malaysia, dianjurkan oleh syarikat pengelola acara, Hitman Solutions bersama-sama syarikat penganjur konsert dari Australia, Cinestar Events yang berjaya menghiburkan hampir 10,000 penonton di Axiata Arena Bukit Jalil pada malam semalam.
Menurut En. Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group berkata, “Kami sangat teruja melihat sambutan yang luar biasa daripada peminat Arijit Singh di Malaysia. Konsert ‘Arijit Singh Live in Malaysia’ benar-benar menggegarkan Malaysia dan melampaui jangkaan kami.
“Ini menandakan kali ketiga kami berpeluang untuk membawa Arijit Singh ke Malaysia dan sangat teruja melihat muziknya yang sangat mempengaruh peminat-peminatnya. Kejayaan konsert ini adalah hasil kerjasama erat dengan Cinestar Events, dan kami berbangga dapat mempersembahkan pengalaman yang luar biasa buat semua yang hadir.”
Konsert yang berlangsung lebih 3 jam bersama penyanyi Bollywood bersuara emas kesayangan ramai, Arijit Singh memberikan persembahan yang mantap dan penuh emosi yang memberikan pengalaman Bollywood kepada peminat di Malaysia.
Dengan vokal yang menggamit perasaan, Arijit Singh membawakan hampir 50 buah lagu ikoniknya seperti “Janam Janam” (Dilwale), “Ae Dil Hai Mushkil”, “Tum Hi Ho” (Aashiqui 2), “Bekhayali” (Kabir Singh), “Kesariya” (Brahmastra), “Chaleya” (Jawan) dan banyak lagi. Momen istimewa ini bukan sahaja menyatukan peminat dari Malaysia dan rantau Asia, tetapi juga merentasi sempadan, dengan Arijit terus mendapat pengiktirafan global, termasuk memegang gelaran artis lelaki dengan pengikut paling ramai di Spotify, mengatasi nama-nama besar seperti Taylor Swift dan Ed Sheeran.
Kepulangan Arijit Singh ke Malaysia sangat dinantikan oleh semua peminat Bollywood, memandangkan kali terakhir beliau membuat persembahan adalah kira-kira 10 tahun lalu pada 2014 di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre.
En. Yogesh Sharma, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Cinestar Events, turut meluahkan kegembiraannya atas kejayaan konsert tersebut: “Kami sangat berbangga menjadi sebahagian daripada kejayaan ‘Arijit Singh Live in Malaysia’ di Kuala Lumpur. Konsert ini adalah bukti bahawa peminat muzik Bollywood di Malaysia amat mengagumi karya-karya Arijit Singh. Kejayaan konsert ini bukan sahaja terletak pada persembahan yang menakjubkan, tetapi juga pada kerjasama yang erat di antara Hitman Solutions dan Cinestar Events. “
Konsert ini juga mempersembahkan sebuah pengalaman visual dan audio yang memukau. Daripada lagu-lagu klasik Bollywood sehingga ke hit terkini daripada filem Dilwale, Brahmastra, dan Jawan, Arijit membawa setiap peminatnya dalam sebuah perjalanan muzik yang penuh perasaan.
Kejayaan konsert “Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia” di Malaysia dan Singapura, serta konsert “NE-YO: Live in Malaysia” baru-baru ini, menunjukkan betapa komitmen Hitman Solutions dalam memberikan hiburan yang terbaik.
Kejayaan konsert ini juga tidak akan berlaku tanpa sokongan dari pihak penaja – Powered By Sponsor (XRealty Australia), Co-Powered by (Experience India – Kashi Tours), Platinum Sponsor (Edu-Key), Official F&B Partner (Namaste India), Official Airline Partner (Malaysia Airlines), Official Hotel Partner (Imperial Lexis Kuala Lumpur), Official Radio Partners (Raaga FM & Gegar FM), Official Media Partners (World Of Buzz, Lobak Merah, and Varnam Malaysia), Supported By (Milestone Entertainment), and Official Transport Partner (D’Mart Travel & Tours).
“Kami berharap untuk terus menyajikan pengalaman konsert yang luar biasa dan kami amat teruja untuk membawa lebih banyak lagi artis Bollywood hebat ke Malaysia pada masa hadapan,” kata En. Rohit Rampal.