JOHOR BAHRU, 29 November- Sepasang suami isteri warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini, atas pertuduhan membunuh majikannya di sebuah rumah di Kulai pada 17 Mac 2020.
Tertuduh, Ekalia dan Bartolomeus Fransceda kedau-duanya berusia 23 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Indonesia.
Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut yang juga pembantu rumah dan tukang kebun di rumah mangsa, didakwa secara bersama membunuh Lau Yen Na, 73 tahun, pada tarikh berkenaan.
Berdasarkan analisa rakaman kamera litar tertutup, CCTV, kedua-dua tertuduh didapati melakukan pembunuhan dengan cara menetak kepala mangsa berkali-kali, menggunakan sebuah cangkul kecil dua mata.
Pasangan suami isteri itu kemudiannya melarikan Toyota Alphard dan telefon bimbit milik mangsa, sebelum ditangkap polis pada 21 Mac 2020, di sebuah restoran di Selangor.
Kejadian mengerikan itu turut disiarkan pada prosiding berkenaan menyebabkan ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Ooi Pen Lyn Dan S. Selvi.
Dalam hujahannya, Pen Lyn memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun kepada kedua-dua tertuduh kerana mereka sebenarnya adalah mangsa kepada pemerdagangan manusia kerana ditipu ejen pekerja tidak berdaftar.
Malah katanya, kedua-dua tertuduh menyatakan mereka bukan sahaja diseksa secara mental dan fizikal oleh warga emas berkenaan, malah diperhambakan mereka dengan tidak diberi makan selain diarahkan tinggal di pondok luar kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq berkata, alasan diseksa dan diperhambakan bukanlah lesen untuk kedua-dua tertuduh meletakkan undang-undang di tangan sendiri, apatah lagi membunuh dengan kejam.
Hakim menetapkan 11 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum.