Beijing: Menggemparkan apabila seorang lelaki di China menceraikan isteri yang dikahwini sejak 16 tahun lalu selepas mengetahui tiada seorang pun daripada tiga anak yang dilahirkan ketika perkahwinan mereka adalah zuriatnya.
Oddity Central melaporkan, Chen Zhixian berkahwin dengan Yu Hua, seorang wanita lapan tahun lebih muda daripadanya pada Disember 2007, tidak lama selepas bertemu dengan isterinya buat kali pertama.
Tidak lama selepas berkahwin, Yu memberitahu Chen bahawa dia hamil dan lelaki itu sangat terharu dengan berita bahawa dia akan menjadi seorang bapa.
Dia tidak sedar bahawa isterinya sudah hamil apabila mereka bertemu.
Yu kemudian melahirkan anak perempuan pertama.
Suaminya adalah pemandu pengangkutan jarak jauh yang tidak berada di rumah hampir sepanjang tahun, dan hanya pulang ke rumah, di Dexing, Wilayah Jianxi, untuk jangka masa yang singkat.
Yu kemudian melahirkan seorang lagi anak perempuan, yang Chen anggap sebagai zuriatnya sebelum mengesyaki isterinya tidak setia pada 2019, apabila memberitahu dia hamil sekali lagi.
Bagaimanapun, wanita itu menegaskan bahawa bayi itu adalah zuriat mereka dan akhirnya, lelaki itu menerimanya
Pada November 2022, Chen akhirnya yakin bahawa isterinya tidak setia dan menjalin hubungan sulit dengan lelaki bernama Wu serta melahirkan anak perempuan keempatnya di sebuah hospital di Shangrao City.
Chen tidak bersemuka dengan Yu, sebaliknya mendapatkan peguam dan pergi ke hospital untuk menyiasat.
Lelaki itu mendapati Yu melahirkan bayi perempuan pada bulan berkenaan tetapi borang memaparkan namanya sebagai bapa berserta tandatangan palsu.
Menyedari sangkaannya mengenai kecurangan Yu Hua sebelum ini adalah benar, Chen memfailkan perceraian dan mengarahkan ujian paterniti untuk setiap anaknya.
Hasilnya mengejutkan apabila mendapati tiada seorang pun daripada tiga anak perempuan adalah zuriatnya.
Chen yang kecewa akhirnya ‘mengheret’ isterinya ke mahkamah bagi menuntut hak jagaan kepada anak-anak itu, selain pampasan kerana tekanan emosi.
Sumber: Harian Metro