Suami Heliza Helmi Terkejut Dituduh ‘Scammer’, NamaDalam Senarai Amaran SC

0
150
Foto: Beautifulnara

PETALING JAYA – Suami kepada pelakon dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman mengakui terkejut apabila namanya berada dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Mahadi dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, bagi membersihkan reputasinya, dia sudah mengambil langkah mendapatkan pencerahan berhubung perkara itu dengan mengadakan pertemuan bersama pihak SC hari ini.

“Pada pertemuan tersebut, saya menyatakan kebimbangan dan menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi serta berpegang kepada undang-undang dan etika perniagaan.

“Ingin saya tegaskan, syarikat yang saya wakili mematuhi setiap undang-undang dan prinsip syariah yang ditetapkan,” katanya.

Bagi menyelesaikan hal tersebut, pihaknya juga dinasihatkan mengemukakan permohonan secara rasmi untuk tindakan pengesahan selanjutnya.

“Sebagai maklum balas di atas permintaan itu, saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak SC serta akan membuat pengesahan sekiranya terdapat sebarang keraguan sehingga membuatkan nama saya dalam senarai amaran pelaburan.

“Saya memahami sebab khusus di atas tindakan berkenaan di mana mungkin wujud salah faham tentang kerjasama saya dengan syarikat yang tidak disenaraikan seperti dalam kenyataan SC.

“Selepas mendapat garis panduan daripada pegawai SC, saya seterunya mengarahkan wakil peguam menghantar surat permohonan kepada SC bagi mendapatkan maklumat yang menyeluruh untuk tindakan seterusnya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Mahadi memberi jaminan bahawa setiap perniagaan yang dijalankannya adalah bersifat telus dan tidak melanggar undang-undang.

“Saya ingin memberi jaminan kepada pelabur dan pihak berkepentingan bahawa telah memberi komitmen dan patuh dalam amalan etika perniagaan.

“Saya akan berusaha dengan gigih untuk menyelesaikan perkara ini bagi memulihkan reputasi dan operasi perniagaan saya. Terima kasih atas pemahaman dan sokongan anda sepanjang tempoh yang mencabar ini,” ujarnya.

Hari ini, nama Mahadi atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ tular dalam media sosial apabila tersenarai sebagai ‘Investor Alert List’ oleh SC.

Laman SC itu mengemaskini senarai aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Berdasarkan kenyataan di senarai itu, individu dan syarikat milik Mahadi menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen untuk berurus niaga dalam sekuriti berhubung dengan pemasaran saham syarikat awam tidak tersenarai. – KOSMO! ONLINE

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here